Rabu, 28 Oktober 2015

Penemuan Jasad Firaun Diiringi Oleh Tanda-Tanda Kiamat Yang Lain?

Pernahkah anda terfikir, apakah penjelasan yang terdapat di dalam Al-Quran mengenai Dunia Moden hari ini? Adakah mungkin anda seorang yang mengambil peduli mengenai keadaan sekeliling ataupun hanya menempuhnya tanpa rasa ingin tahu? Apakah kesannya sama ada mengambil peduli ataupun tidak?
Cuba anda bayangkan anda kini sedang mengembara di dalam hutan. Setelah beberapa jam berlalu, anda masih belum sampai ke destinasi. Sekiranya anda seorang yang peduli tentang keadaan sekeliling anda, pastinya anda akan tertanya-tanya sama ada anda telah sesat jalan. Anda pasti akan melakukan sesuatu untuk mengatasinya. Mungkin anda boleh membuat keputusan untuk kembali ke permulaan jalan. Namun, jika anda jenis yang tidak mengambil peduli, perjalanan itu pastinya akan tiada hala tujunya. Kemungkinan anda hanya akan tersedar ketika bekalan makanan sudah kehabisan. Bukankah ketika itu sudahpun terlambat untuk anda melakukan sesuatu?
Secara misterinya, Dunia Moden hari ini lahir kira-kira 100 tahun dahulu. Tahukah anda bahawa 100 tahun dahulu telah terjadinya suatu peristiwa yang membuktikan kebenaran Al-Quran secara jelas & terang?
Pada tahun 1896, seorang ahli kaji purba Perancis yang bernama Loret telah menemui sesuatu yang amat mengujakan di Wadi al-Muluk (lembah raja-raja), Thaba Luxor, Mesir. Beliau telah menemui mumia Firaun Ramses ke-2 iaitu firaun yang dipercayai berkaitan dengan penceritaannya di dalam Al-Quran. Pembalutnya telah dibuka oleh Eliot Smith, juga seorang ahli kaji purba yang berasal dari Inggeris pada 8 Julai 1907.
Allah s.w.t. telah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Surah Yunus, ayat 92).
Ramai penulis, saintis, ulama' dll yang memberi penekanan kepada 'Kami selamatkan badanmu' sebagai bukti kebenaran Al-Quran bahawa ianya telah dikhabarkan 1400 tahun yang lalu melalui Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan saintis hanya menemuinya 100 tahun yang lalu. Perkara ini merupakan bukti penting bahawa Al-Quran bukanlah ditulis oleh manusia.
Namun, ramai yang kurang memerhatikan frasa 'tanda-tanda kekuasaan Kami' atau lebih aku fokuskan 'tanda-tanda'. Penemuan mumia jasad firaun merupakan 'tanda' yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran. Selain daripada tanda ini, terdapat tanda-tanda lain yang mengiringi penemuan ini. Apa yang lebih mengejutkan, selepas penemuan jasad firaun, satu demi satu tanda-tanda kiamat berlaku!
Pertama, terbentuknya gerakan Zionis yang membawa kepada pembebasan Jerusalem daripada jajahan Kerajaan Uthmaniyyah pada 1918. Pembebasan ini kemudiannya membawa kepada pembentukan Negara Israel Moden pada 14 Mei 1948. Maka, berlakulah perkara yang dikhabarkan di dalam Surah Al-Anbiya, ayat 95-96 (rujuk catatan aku http://www.akudiakhirzaman.blogspot.my/2015/10/apa-al-quran-kata-mengenai-akhir-zaman.html).
Kedua, Order Baru Dunia oleh golongan Yaajuj Maajuj. Mengikut tafsir Ibnu Katsir, sekitar 50H, khalifah telah menghantar sepasukan tentera untuk menjejaki tembok Yaajuj Maajuj. Pasukan ini telah berjaya menemui tembok yang dibuat oleh Zulkarnain itu. Apa yang ditemui oleh mereka ialah sebuah kota yang telah musnah berhampiran dengan tembok tersebut. Sebenarnya, ayat 95-96 Surah An-Anbiya juga telah menyatakan bahawa kembalinya Bani Israel ke Jerusalem adalah dengan bantuan Yaajuj Maajuj. Kini, segala sistem yang ada di Dunia Moden merupakan sistem yang diasaskan oleh mereka. Aku dan kamu merupakan sebahagian daripada sistem ini!
Ketiga, berakhirnya era Mulkan 'Adhan (Kerajaan Yang Menggigit). Mulkan 'Adhan merupakan suatu sistem pemerintahan yang mula meninggalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Salah satu contoh yang paling ketara berlaku di dalam pemerintahan Islam selepas Saidina Ali ialah Khalifah diperturunkan melalui keturunan (Datuk kepada Bapa kepada Anak dan seterusnya) seperti Zaman Umaiyyah, Abassiyah  hingga ke yang terakhir iaitu Uthmaniyyah. Ini berlaku sekitar tahun 1918. Namun, pemerintahan ini masih menjunjung Allah sebagai Al-Malik (Undang-undang Allah dan RasulNya merupakan undang2 tertinggi).
Keempat, bermulanya era Mulkan Jabarrriyan (Kerajaan Yang Menyombong). Mulkan Jabarriyan merupakan sistem pemerintahan yang tidak berpegang kepada Al-Quran & As-Sunnah. Tidak ada Khalifah yang memayungi umat Islam. Manakala kerajaan yang memerintah meletakkan Al-Malik bukan lagi kepada Allah tetapi pada Negara itu sendiri (sebagai contoh; Parlimen). Ini merupakan kesombongan pada Allah sedangkan hanya Allah yang layak sebagai Al-Malik. Dengan kata lain, Undang2 Allah bukan lagi sebagai Undang-undang tertinggi tetapi segala keputusan diletakkan pada Parlimen untuk menggubal segala undang-undang.
Kelima, penemuan sebuah kotak elektronik yang menjadi alat penyebar fitnah iaitu Televisyen. Televisyen mula dicipta oleh  Paul Gottlieb Nipkow pada 1884. Walaupun dari segi teknologi seolah-olah suatu kemajuan, namun fungsinya semakin ketara dari tahun ke tahun 'membentuk pemikiran manusia supaya hanya mengetahui sesuatu yang diingini oleh pihak berkepentingan, tidak kira sama ada ianya benar ataupun salah'. Perkara ini disentuh oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis:
Telah menceritakan kepada kami Abu Nu'aim telah menceritakan kepada kami Ibnu 'Uyainah dari Az Zuhri -lewat jalur periwayatan lain-Dan telah menceritakan kepadaku Mahmud telah mengabarkan kepadaku 'Abdurrazzaq Telah mengabarkan kepada kami Ma'mar dari Az Zuhri dari 'Urwah dari Usamah bin Zaid radliallahu 'anhuma, mengatakan; Pernah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menaiki sebuah benteng Madinah lantas bersabda; "Apakah kalian melihat yang kulihat?" Mereka menjawab; 'Tidak.' Beliau bersabda: "Sungguh aku melihat fitnah telah terjadi ditengah-tengah rumah kalian sebagaimana hujan turun." [Sahih al-Bukhari 7060].
Sebenarnya ada terlalu banyak lagi tanda yang terbuka hijabnya satu per satu selepas penemuan jasad Firaun pada tahun 1986. Sekiranya diletakkan kesemuanya, aku yakin anda semua tidak akan baca kesemuanya. Oleh itu, aku sememangnya bercadang untuk mengecilkannya melalui catatan-catatan yang lain. Apa yang penting ialah jangan terima semua yang aku kongsikan selagi anda tidak memastikan kebenarannya melalui kajian-kajian anda sendiri. Wallahu a'lam...

Isnin, 26 Oktober 2015

Dunia Ini Terlalu Logik. Bangunlah Dari Tidur!!!

Aku merupakan orang yang lahir di Kuala Lumpur. Di sinilah tempat aku dibesarkan. Di sinilah tempat aku mendapat pendidikan. Di sinilah juga tempat kebanyakan daripada umurku menimba pengalaman.
Aku membesar seperti juga kamu. Zaman kanak2ku penuh dengan angan2 dan permainan seperti layang2, gasing, polis sentri dll. Aku bersekolah rendah & menengah seperti juga kamu. Aku melanjutkan pelajaran ke Universiti, juga seperti kamu. Aku melalui semua sistem ini seperti mana kebanyakan orang juga melaluinya. Sebuah kebiasaan Malaysiawi yang bermula dengan UPSR, kemudian PMR, kemudian pula SPM, kemudian Matrikulasi, kemudian Ijazah Sarjana Muda dan kemudiannya bekerja.
Setelah habis belajar, aku mengangankan dan menginginkan sebuah pekerjaan yang sesuai dengan tahap pendidikanku. Duit gajiku pula digunakan untuk membayar ansuran kereta, kehidupan sosial, kehidupan berkeluarga, kehidupan bermasyarakat, memiliki kad kredit dll. Hari cuti pula dihabiskan dengan merehatkan fizikal yang lesu, mengembara ke pulau, mendaki gunung, meredah hutan dll. Begitulah kehidupan yang 'ternampak' dek mata fizikalku. Turun temurun mengikut peredaran zaman.
Namun, aku ada suatu 'masalah' sejak kecil iaitu suka bertanya soalan. Adakalanya soalan itu untuk seseorang dan adakalanya merupakan soalan intra-personal. Sehingga suatu ketika aku tertanya2 sebab kepada 'dunia yang seolah2 tidak pernah ada rujukannya'. Suatu dunia yang penuh dengan logik dan penjelasan sains moden. Sangat logik sehinggakan aku merasakan mustahil Saidina Umar boleh memberi arahan kepada panglima yang sedang berperang ketika berkhutbah di tempat lain. Mana mungkin?
Suatu hari aku terdetik untuk mencari perkara luar logik seperti yang berlaku di dalam cerita2 para wali yang sering menjadi bacaan ringanku. Entah mengapa, aku sangat tertarik dengan ilmu Tasawuf. Lalu aku mencari pengamal2nya sehingga aku terjumpa seorang yang sangat menarik perhatianku iaitu Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Sidek. Beliau merupakan seorang Mursyid untuk Tariqah Naqsyabandiyah Kholidiyah. Aku mengikuti beberapa siri kelasnya, mata bertentang mata. Walaupun ketika itu aku tidak berniat untuk berbaiah dengannya. Bertahun2 lamanya aku memerhati dan mengikuti ceramahnya...
Sehingga pada suatu hari sepupuku menunjukkan siri Wake Up Project. Salah satunya ialah The Arival. Setelah menonton kesemua sirinya, aku seolah2 orang yang hilang arah. Ini kerana aku merasakan bahawa seperti sangat terlewat untuk aku berbuat persediaan menghadapi kemunculan akhir zaman. Kemudian, aku telah diperkenalkan oleh sepupuku itu seorang tokoh Islam yang bernama Sheikh Imran Hosein. Kali pertama aku mengikuti ceramahnya di Ampang, aku merasakan seperti mendapat nafas baru. Terasa begitu semangat untuk mendalami Islam yang selama ini aku rasakan seperti 'sudah cukup'.
Sheikh telah banyak merubah cara aku berfikir & bertindak. Beberapa tahun mengamati Ilmu Akhiruzzaman membuatkan aku mengenali betapa kehidupan aku yang 'tidak terarah' dahulu merupakan 'kehidupan untuk dunia!' Walaupun yang rukun tidak aku tinggalkan. Baru aku sedar bahawa Sistem Manusia hari ini telah banyak meninggalkan roh akhirat walaupun pada mata fizikal berbaur kerohanian. Aku berasa seperti orang yang baru terjaga daripada mimpi!
Sebenarnya, skop perkongsian aku ini hanyalah untuk mereka2 yang rapat denganku seperti ahli keluarga, rakan2 dll. Untuk membuka mata seluruh umat pasti bukan aku orangnya. Mana mungkin orang kurang ilmu seperti aku untuk berbicara mengenainya. Namun, aku sayangkan Islam seperti mana kebanyakan daripada anda menyayangi Islam. Maka, aku kongsikan juga sedikit ilmu itu dalam keadaan aku sendiri sangat kekurangan. Semoga bermanfaat. Wallahu a'lam.

Sabtu, 24 Oktober 2015

NATO Dibayangkan Kewujudannya Di Dalam Al-Quran...

Beberapa catatan aku untuk memulakan blog ini akan berkisar mengenai apa yang Al-Quran sebut berkaitan dengan akhirzaman. Ironiknya, Al-Quran adalah relevan sepanjang zaman. Antara cara menguasai Al-Quran adalah dengan selalu merujuk kepadanya untuk memulakan pencarian maklumat selain amalan membacanya. Percayalah, sebenarnya seronok memahami Al-Quran buat orang2 yang beriman. Pernahkah anda tertanya2 apa maksud ayat Al-Quran yang dibaca dengan banyak sekali ketika solat tarawikh? Jika kita benar2 faham akan maksudnya, solat tarawikh itu seakan2 sebuah pengembaraan!
NATO (North Atlantic Treaty Organization) merupakan sebuah organisasi berbentuk ketenteraan yang bernaung di bawah undang2 PBB. Jika hanya menggunakan mata fizikal, NATO merupakan sebuah organisasi yang melindungi keselamatan negara2 yang bernaung dibawahnya (ahli). Maklumat lanjut mengenai NATO boleh ke link ini https://id.wikipedia.org/wiki/Pakta_Pertahanan_Atlantik_Utara.
Namun, ianya tidak lagi menjadi rahsia bahawa NATO merupakan suatu organisasi yang berasal daripada gabungan Anglo-American Judeo-Kristian iaitu orang2 Yahudi Amerika & Eropah bergabung dengan orang2 Kristian Amerika & Eropah sebagai organisasi ketenteraan pada 4 April 1949. Tujuannya adalah untuk menjaga keselamatan Amerika & Eropah ketika itu daripada serangan pihak2 yang lain (sekitar Perang Dunia ke-2).
Di dalam Al-Quran, Allah berfirman (maksudnya):
"Wahai orang2 yang beriman, janganlah kamu mengambil orang2 Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin2/sekutu(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin/sekutu bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin/sekutu, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang2 yang zalim". (Surah Al-Maidah, ayat 51).
Secara logik, tidak mungkin Kristian akan bersekutu dengan Yahudi. Mengapa? Kerana mengikut fahaman Kristian, orang Yahudi yang membunuh & menyalib Nabi Isa a.s. Suatu fakta yang sangat mudah difahami. Perlukah aku menerangkan lagi mengapa mereka tidak mungkin bersekutu? Malahan, tidak pernah ada di dalam sejarah sebelum ini ada sekutu Yahudi-Kristian. Namun, berlaku juga persekutuan di antara mereka di Barat. Tetapi ini tidak berlaku bagi Kristian timur seperti di Rusia!
Maka, mengikut ayat di atas, Allah telah membayangkan gabungan Yahudi-Kristian yang menjadi larangan kepada kita untuk menjadikan mereka sebagai sekutu. Allah juga memberi amaran bahawa sesiapa sahaja yang mengikut mereka akan menjadi sebahagian daripada golongan mereka! Mungkin ramai yang tidak setuju jika aku katakan bahawa Turki juga termasuk dalam golongan ini. Ya, Turki yang telah banyak membantu Umat Islam di sana sini juga termasuk dalam golongan ini kerana mereka telah menjadi Anggota Nato sejak Perang Dingin. Mereka juga telah menghantar tentera untuk menyerang Libya untuk menjatuhkan Ghadafi beberapa tahun dahulu. Libya, sebuah negara Islam yang telah memberikan syarat 'Duit Emas untuk Minyak Kami' akhirnya telah jatuh ke tangan NATO.
Aku bukannya penyokong Ghadafi. Tolong jangan buat kesimpulan itu. Namun aku harus jujur apabila buat pengadilan berdasarkan ayat Al-Quran. Dan Al-Quran telah menjelaskan segala peristiwa hari ini. Benar! Ianya tidak terjadi secara kebetulan! Segala yang berlaku hari ini ada penjelasannya di dalam Al-Quran & Hadis. Anda hanya perlu membukakan mata anda. Bukan mata fizikal tetapi mata hati. Ya, mata hati! Dan mata hati memerlukan Al-Quran sebagai panduannya... Wallahu a'lam...

Rabu, 21 Oktober 2015

Apa Al-Quran Kata Mengenai Akhir Zaman?

Al-Quran merupakan Kitab Rujukan Primer buat umat Islam. Kalam Allah ini merupakan Hakim untuk mengadili semua kalam makhluk. Kemudian, barulah kita akan merujuk kepada Hadis Nabi untuk penjelasan. Seterusnya penjelasan2 ulama mengenai sesuatu perkara itu. Aku yang serba kekurangan ini bukan berniat untuk mengajar. Tetapi inilah yang sepatutnya kita semua lakukan. Bukan sekadar menjadikan (hanya) ulama sebagai rujukan. Kita sendiri yang perlu pro-aktif (dalam kerjaya kita boleh proaktif, mengapa tidak untuk akhirat?) untuk mencari kesahihannya dengan menjadikan Al-Quran & Hadis sebagai amalan rujukan kita. Percayalah, ianya penting untuk meniti Akhir Zaman...
Ada banyak ayat rujukan mengenai Akhir Zaman di dalam Al-Quran. Aku kongsikan satu daripadanya. Serta penjelasan yang dapat aku faham daripada apa yang dijelaskan oleh guruku. Namun sekali lagi aku tegaskan bahawa jangan sesekali percaya dengan apa yang aku kongsikan melainkan anda telahpun melakukan rujukan yang sepatutnya untuk memastikan kesahihannya!

Allah berfirman (maksudnya):
"Sungguh tidak mungkin atas (penduduk) sesuatu negeri yang telah Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami). Hingga apabila dibukakan (tembok) Yaajuj dan Maajuj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi". (Surah Al-Anbiya, ayat 95-96).

Al-Quran tidak menyatakan secara jelas mengenai 'negeri' yang dimaksudkan di dalam ayat ini. Oleh itu, ayat ini mempunyai status 'Mutasyabihat' iaitu memerlukan takwil untuk mencari 'negeri' yang dimaksudkan oleh Al-Quran. Perkara ini telah ditakwilkan oleh guru saya di dalam buku karangannya Jerusalem Di Dalam Al-Quran. Boleh di muat turun percuma (fail pdf) melalui internet di alamat http://imranhosein.org/books.html.
Di dalam kajian beliau, didapati hanya Jerusalem (Baitul Muqaddis) sebagai kota yang berkaitan dengan Yaajuj Maajuj yang disebut di dalam Al-Quran & Hadis. Seandainya perkara ini benar (wallahu a'alam), ini bermaksud penduduknya iaitu Bani Israel telahpun kembali (sememangnya)! Dan yang lebih mengejutkan, Bani Israel kembali disebabkan oleh bantuan Yaajuj Maajuj! Ini juga bermaksud, Yaajuj & Maajuj telahpun bebas daripada tembok besi buatan Zulkarnain!
Sebenarnya, ramai yang tidak sedar bahawa Kota Jerusalem sememangnya telah diberikan kepada Bani Israel oleh Allah tetapi dengan bersyarat (Surah Al-Araf, ayat 161). Antara syaratnya ialah Baitul Muqaddis hanya diberikan kepada hamba2 Allah yang soleh (Surah Al-Anbiya, ayat 105). Namun dek kerana melanggar syarat, Allah telah menyingkirkan mereka sebanyak 2 kali (Surah Al-Isra'@Bani Israel, ayat 4-7). Sekali disebabkan oleh mengubah Taurat & sekali lagi disebabkan membunuh Nabi2. 
Jika kita perhatikan betul2 ayat di atas, maka sedarlah bahawa ianya sedang berlaku kini! Maka, tidak hairanlah mengapa Negara Israel adalah sebuah negara yang secara misterinya kebal & sangat kuat. Mereka sebenarnya dibantu oleh golongan Yaajuj Maajuj yang kuat & hanya Nabi Isa a.s. & tenteranya yang ditakdirkan untuk mengalahkan mereka. Namun, ini tidak bermaksud Palestin perlu diabaikan. Malahan, kita wajib berjihad dengan apa yang kita ada untuk membantu perjuangan mereka sama ada harta, tenaga mahupun jiwa. 
Mana mungkin aku dapat rumuskan sesuatu yang telah dibukukan oleh guruku sebanyak 366 mukasurat (versi bahasa melayu). Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini, bolehlah dapatkan buku beliau yang bertajuk Jerusalem Di Dalam Al-Quran (terdapat juga versi bahasa melayu yang ada di pasaran). Wallahu a'alam...

Dunia Di Akhir Zaman?

Sebelum aku mencatatkan mengenai perihal akhir zaman, perlu aku nyatakan sekali lagi di sini bahawa segala yang aku catatkan merupakan kefahaman aku mengenai akhir zaman melalui sedikit ilmu yang aku dapat daripada guruku dalam keadaan aku yang penuh kekurangan. Maka, jangan sesekali terima pendapatku melainkan setelah anda meneliti kebenarannya melalui kajian anda. Sebenarnya, inilah cara guruku mengajarku supaya tidak terima terus sesuatu ilmu kecuali setelah melakukan 'kerja rumah' iaitu mencari kesahihan & kebenarannya.
Akhir zaman merupakan jangka masa terakhir umat manusia yang bermula dengan lahirnya Nabi kesayangan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Ya, lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. merupakan 'tanda pertama' bermulanya akhir zaman. Namun, mengikut Rasulullah s.a.w., umat Islam terbahagi kepada 5 fasa. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah,kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang mengigit (Mulkan ‘Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian baginda (Nabi) diam". (Hadith Riwayat Ahmad dan Baihaqi dari Nuaman bin Basyir dari Huzaifah).
Akhir zaman juga merupakan jangka masa akan terjadinya apa yang telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Betapa benarnya kata2 baginda, kebanyakan daripada apa yang telah disabdakan benar2 berlaku di zaman ini. Mengenai bangunan2 pencakar langit. Mengenai perempuan berpakaian tetapi telanjang. Mengenai fitnah2 yang datang dari bumbung2 rumah. Subhanallah! Anda hanya perlu membuka mata saja! Betapa kata2 Rasulullah s.a.w. benar2 terjadi! Betapa membuktikan bahawa baginda bukan orang2 biasa yang bersangka2 mengenai sesuatu! Baginda benar2 seorang Nabi & Rasul yang diutuskan oleh Allah. Mana mungkin orang2 biasa boleh menjangkakan apa yang bakal terjadi 1400 tahun kemudian (setakat hari ini)?!...
Akhir Zaman berbeza dengan Hari Kiamat. Hari Kiamat merupakan hari di mana segala yang ada di Cakera Wala akan hancur, sangkakala akan ditiup oleh Israfil dll. Namun, akhir zaman merupakan jangka masa terjadinya tanda2 kecil & tanda2 besar sebelum berlakunya hari kiamat. Penjelasan ini perlu kerana ada segolongan manusia yang menafikan zaman ini adalah akhiruzzaman. Mereka hanya berpegang kepada fakta bahawa hanya Allah yang mengetahui bila terjadinya hari kiamat. Mereka benar mengenai itu! Memang benar hanya Allah yang mengetahui bila terjadinya hari kiamat namun Allah & RasulNya juga telah mengkhabarkan kepada kita mengenai tanda2nya (kecil & besar). Oleh itu, kita perlu jelas mengenai perbezaan di antara Akhir Zaman & Hari Kiamat!
Sedikit ilmu ini aku kongsikan dengan semua pembaca. Semoga ianya bermanfaat. Wallahu a'lam..

Pemula

Assallamualaikum Para Pembaca...
Bismillah...

Segala Puji-pujian bagi Allah s.w.t.
Selawat & Salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w...

Setiap yang bernama makhluk, pastinya ada permulaan. Dan ini adalah catatan pemula aku bagi sebuah blog yang telah lama aku fikirkan untuk ianya wujud. Kekurangan kefahaman & amalan bagi sebuah ilmu dalam diri ini yang sangat kurang membuatkan aku berasa kalamku ini bukanlah suatu keperluan. Namun di suatu sudut lain, desakan demi desakan batinku memaksa aku mencatatkan perjalanan ini agar ianya tercatat. Agar aku mampu melihat semula segala kekuranganku...

Bagi anda semua, jangan sesekali setuju dengan apa yang aku catatkan. Melainkan anda telahpun memastikan kebenarannya, jadikanlah hanya sebuah pembuka minda menuju yang lebih baik. Kekurangan ini pastinya bukan rujukan untuk anda...

Dalam kekurangan ini, aku telah menjalani hidupku seperti kamu. Dan aku catatkan apa yang ternampak dek mata akan bahaya & bahana hidup di akhir zaman. Juga aku catatkan cara aku menghadapinya tatkala aku sendiri sangat kekurangan ketika menghadapinya....

Aku juga sedang berasa gentar tatkala guruku menunjukkan satu per satu hijab yang menutup mataku daripada mengenal Penipu Agung di akhirzaman. Ternyata 'kaf fa ro' pada dahinya bukanlah sesuatu yang bisa terlihat oleh mata zahir. Betapa segala yang terzahir hari ini lahir daripada 'sungai' ditangannya sedangkan ianya adalah api yang sangat berbahaya. Aku yang serba kekurangan ini ingin sekali melihat anda 'membuka mata' setelah meneliti catatanku...

Akhir kata daripada pemulaku, sedarlah anda kini berada di akhir zaman. Atau mungkin yang lebih tepat, fasa ke-4 umat Nabi Muhammad s.a.w. Sedarlah bahawa untuk memahami dunia hari ini, tidak boleh tidak, perlu mengenalpasti bahawa 'Arkitek'nya adalah Penipu Agung yang bernama Dajjal si penipu. Dan sedarlah bahawa, Nabi Muhammad s.a.w. telahpun memberikan kita garis panduan untuk hidup di zaman ini, bukan untuk mengelakkan kematian jasad tetapi untuk mengelakkan kematian hati. Wallahu a'lam...