Rabu, 29 Jun 2016

Gadjet Terpenting Akhir Zaman

Dunia Moden kini menyaksikan betapa perkembangan teknologi dalam semua bidang benar2 berkembang. Betapa banyak pekerjaan manusia kini menjadi mudah dan cepat. Mata fizikal melihat ini sebagai suatu 'progress' untuk menghasilkan lebih banyak teknologi dan gerak kerja. Banyak perkara boleh diselesaikan dalam masa yang lebih singkat. Ya, semakin banyak kerja. Kerja untuk apa? Untuk dunia ataupun akhirat?
Secara logiknya, teknologi akan membuatkan kita semakin banyak masa. Namun, mengapa semakin berkembang teknologi, manusia semakin sibuk? Pernah tidak kita terfikir bahawa kita semakin sibuk untuk apa? Hanya ada dua jawapan, dunia ataupun akhirat. Allah berfirman:
Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya. (Surah Al-Kahf, ayat  103-104).
Di antara gadjet manusia (yang mesti ada) hari ini ialah Smartphone/Handphone, Kereta/motor, Internet access dll. Namun kita semakin melupakan Gadjet yang telah lama Allah 'install' dalam setiap manusia untuk mendapatkan ilmu secara internal. Ya, manusia bukan sahaja punya mata fizikal tetapi ada mata yang lain. Kita biasa menggelarkannya 'Mata Hati'.
Firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti-bukti yang terang; maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri; dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudharatannya kembali kepadanya. Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu). (Surah Al-An'am, ayat 104).
Buta di dalam ayat ini ialah buta mata hati. Ayat ini diturunkan kepada Nabi Akhir Zaman iaitu Muhammad s.a.w. Untuk siapa? Pastinya untuk seluruh umat baginda. Ya, umat baginda iaitu umat akhir zaman. Ianya menjadi semakin penting tatkala kiamat semakin hampir. Mengapa? Sebagai alat untuk mengesan bukti2 daripada Allah dan Rasulullah yang kini tabirnya terbuka satu per satu.
Bahayanya jika gadjet ini telah rosak ialah terhijablah kita daripada kebenaran. Maka mudahlah Dajjal menipu kita. Dan tanpa kita semua sedar, pihak Dajjal telahpun menipu kita semua. Ya, pihak Dajjal iaitu manusia yang bersekongkol dengan Dajjal. Mereka punya cara untuk berkomunikasi di antara satu sama lain walaupun Dajjal masih belum berada di dimensi "Satu hari sama seperti hari2 kamu" HR Muslim. Sama seperti bomoh2 berkomunikasi dengan jin2 yang bukan berada di dimensi kita (jika tidak, pastinya kita dapat melihat tamadun mereka dengan mata fizikal).
Apakah penipuan yang telah Dajjal lakukan? Mungkin bukan di dalam catatan ini. Insyaallah, aku akan bincangkan di dalam catatan yang lain. Apa yang ingin aku ketengahkan dalam catatan ini ialah kita perlu bersama2 berusaha membuka mata hati. Carilah guru yang dapat mencadangkan 'jalan' untuk menajamkan mata hati. Mungkin dengan zikir2 ataupun solat2. Yang paling penting ialah amalan2 ini biarlah bersanad. Bukan hanya ikut2an. Ya, terdapat banyak beza di antara amalan ikut2 dengan amalan bersanad. Hanya yang beramal dengan amalan bersanad sahaja yang memahaminya. Wallahualam...

Ahad, 26 Jun 2016

Kunci Mengenal Peristiwa Akhir Zaman

Sebenarnya agak ramai yang mengetahui yang mereka berada di akhir zaman. Sama ada mereka Islam, Kristian ataupun Yahudi, serba sedikit mereka menyedari apa yang dinyatakan di dalam kitab2 mereka. Akhir zaman melibatkan semua manusia tidak mengira agama apa yang mereka anuti. Walaupun banyak yang pahit tetapi tetap ada indahnya peritiwa akhir zaman ini. Indahnya terletak pada satu per satu tabir kebenaran Rasulullah kini terbukti!

Ramai yang tahu mengenai kedatangan Yaajuj & Maajuj walaupun terdapat banyak perbezaan pendapat mengenai 'takwil' kepada ayat2 Al-Quran & Hadith. Begitu juga dengan Dajjal. Tidak dilupakan Dabbatul Ard. Seterusnya kedatangan Imam Mahdi. Turunnya Nabi Isa a.s. Serta pelbagai peristiwa akhir zaman yang diketahui melalui Al-Quran dan Hadith. Begitu banyak pendapat & takwil. Begitu banyak pembentangan yang dibuat. Namun jika ingin disusun ilmu tersebut, di manakah permulaannya?
Sebenarnya, kunci kepada mengenal peristiwa akhir zaman itu terletak kepada pemahaman jitu mengenai sebuah negeri yang diberkati iaitu Baitul Muqaddis. Mengapa? Persoalan ini memerlukan jawapan yang panjang. Juga penghayatan yang berterusan. Serta mata hati yang terang. Ianya bukanlah begitu sukar pada mereka yang mencari. Tetapi ianya sangat sukar pada mereka yang menghindarinya. Mari kita lihat di manakah sasaran ataupun objektif peristiwa akhir zaman ini?

Pertama, Bani Israel pernah menjadi hamba abdi di Babylon sebagai hukuman Allah disebabkan mereka banyak mengubah isi Taurat. Nabi Daniel a.s. telah menyampaikan perkhabaran gembira kepada Bani Israel mengenai kedatangan Al-Masih iaitu seorang Nabi yang akan menyelamatkan mereka. Namun, setelah datangnya Nabi Isa a.s. sebagai Al-Masih, mereka mengingkarinya. Sehingga sekarang, mereka masih menunggu Al-Masih datang untuk menjadi pemimpin mereka. Malangnya, seperti yang diketahui oleh umat Islam, tanpa disedari oleh golongan Yahudi, Al-Masih yang mereka tunggu bukanlah lagi Nabi Isa a.s. namun seorang penipu besar yang digelar Dajjal Al-Masih. Ini merupakan hukuman bagi mereka (Yahudi) kerana mengingkari kerasulan Nabi Isa a.s. Dajjal sebagai pemimpin Yahudi digambarkan di dalam hadis berikut:
"Dajjal akan muncul dari arah timur dari Khurasan (sekarang terletak di Iran timur) dengan diiringi 70.000 orang Yahudi Ashbahan (sebuah kota di tengah Iran)." HR Muslim (no 2944).

Maka, Baitul Muqaddis merupakan sasaran Dajjal Al-Masih untuk membuktikan kerasulannya pada golongan Yahudi (Al-Masih mengumumkan kerasulannya di Baitul Muqaddis). Disebabkan itu, segala usaha Dajjal perlu memfokuskan untuk memenangi hati Yahudi. Untuk itu, Dajjal perlu menakluk Baitul Muqaddis (walaupun dia tidak mampu memasukinya) untuk golongan Yahudi.

Kedua, orang-orang Kristian percaya kepada kelahiran semula Nabi Isa a.s. di akhir zaman. Mereka juga percaya bahawa Nabi Isa a.s. akan mengumumkan dirinya di Baitul Muqaddis. Ini di antara sebab mengapa Perang Salib bersungguh2 dilancarkan oleh puak Kristian selama lebih kurang 1000 tahun menentang orang Islam. Namun kebanyakan daripada mereka merupakan Kristian Barat. Mereka pernah menawan Baitul Muqaddis untuk beberapa tahun (setelah berjaya ditawan semasa zaman Umar Al-Khattab) namun berjaya ditawan semula oleh Sultan Sallehuddin Al-Ayubi. Kini, Perang Salib telah tamat dengan tertubuhnya Negara Israel Sekular. Pernahkah anda terfikir mengapa Kristian Barat bersungguh2 menawan Jerusalem untuk orang2 Yahudi? Aku hampir2 sahaja ingin menyenaraikan peristiwa ini sebagai tambahan kepada '12 Wonders of the World'. 

Ketiga, kepercayaan kita sebagai umat Islam. Ya, Nabi Isa a.s. akan mengambil tampuk pimpinan dunia di Baitul Muqaddis. Mengapa di Baitul Muqaddis? Di sinilah tempat tinggalnya Nabi2 dan Rasul2 sebagai 'Negeri Yang diBerkati' (Surah Al-Anbiya, ayat 71 & 81). Di sini juga tempat yang disampaikan oleh Nabi Daniel bahawa Al-Masih akan muncul. Jika kita lihat perkembangan dunia hari ini, Negara Pemerintah Dunia adalah Israel walaupun ianya masih dibelakang tabir (memperalatkan US). Dajjal akan dibunuh oleh Nabi Isa a.s. di Lud (sebuah kota berhampiran Baitul Muqaddis), HR Ahmad. Ketika itu Dajjal merupakan pemimpin Yahudi yang berpusat di Jerusalem. Andainya Dajjal mempunyai pusat pemerintahan yang lain, pastinya orang2 Yahudi tidak akan mengiktirafnya. Maka, dengan terbunuhnya Dajjal, Nabi Isa a.s. membuktikan dapat kebenarannya kepada golongan Yahudi & Nasrani di Baitul Muqaddis.

Memahami peristiwa akhir zaman sangat sukar kerana hadith mengenainya tidak tersusun secara tertib. Kebanyakan susunan merupakan pendapat & takwil ulama'. Namun untuk memahaminya, tidak dapat tidak, perlu kepada pemahaman mendalam terhadap sejarah dan perkembangan yang dapat diambil daripada Al-Quran, Hadith dan kitab2 sejarah mengenai Baitul Muqaddis. Ini adalah kerana banyak peristiwa besar akhir zaman yang bakal berlaku di sini. Kebenaran yang manakah yang akan terbukti; Yahudi, Nasrani ataupun Islam? Kita sebagai umat Islam pastinya mempercayai Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh iman dan tiada keraguan. Wallahualam.

Jumaat, 24 Jun 2016

Mengapa Aku Tiada Smartphone?

Komunikasi merupakan suatu proses pemindahan maklumat daripada Pemancar kepada Penerima. Pemancar dan penerima ini boleh berubah peranan ketika diperlukan. Pemancar dan penerima tidak semestinya alatan atau gadjet, ianya mungkin juga merupakan komunikasi langsung daripada seorang manusia kepada manusia lain. Ataupun lebih umum daripada makhluk kepada makhluk yang lain.
Melalui masa, manusia mula meningkatkan lagi keberkesanan komunikasi dengan ciptaan demi ciptaan. Mungkin suatu masa dahulu komunikasi mengambil masa berhari-hari ataupun bertahun-tahun, namun teknologi hari ini membuatkan komunikasi itu semudah muka bertemu muka walaupun berada di tempat yang berlainan dan jauh. Begitu mudah mencapai maklumat. Dunia hanya dijari anda!
Mungkin ramai yang menggelar aku Melayu Ortodox. Seolah2 aku ini anti kepada kemajuan. Tiada smartphone. Tiada akaun Whatsapp. Apatah lagi aplikasi Telegram. Sehinggakan ada yang sanggup menawarkan untuk membelikan sebuah Smartphone kepada aku (cakap kosong saja). Alhamdulillah, sehingga sekarang aku masih tetap pada pendirian aku untuk tiada Smartphone. Ramai sangat yang bertanya sebab kepada pendirian aku itu. Pada mereka, aku ini hanya akan melambatkan kerja mereka, cuba mengelakkan diri, ada masalah mental dll. Aku ada jawapan untuk itu tetapi sejauh manakah anda akan memahami?...
Pertama, sejak aku mengenali dunia IT sekitar tahun 1998, aku adalah seorang pencinta IT ketika itu. Malahan, setelah kenal dengan permainan 'War Craft', aku menjadi seorang Gamers yang agak teruk. Aku tidak berniat untuk membongkar kehidupan semasa zaman jahiliyah tetapi ada yang perlu aku jelaskan. Betapa teruknya aku sebagai seorang Gamers sehinggakan ianya berterusan hingga tahun 2010. Kalau setakat permainan video 'ayam2' seperti Candy Crush, CafeWorld dll, itu biasa2 sahaja. Namun kalau anda kenal game seperti Fallout, Might & Magic, Wizard & Warrior dll, mungkin anda juga seperti aku. Ianya bukan boleh habis dalam masa sehari dua malahan jika main tanpa 'Cheat Code', boleh ambil masa bertahun!
Kesedaran terhadap pembaziran masa bermain permainan video ini membuatkan aku takut untuk memiliki gadjet yang bernama SmartPhone. Mungkin ada yang berkata, "Pandai2 lah nak bahagi masa". Secara jujur, seorang perokok sangat sukar untuk berhenti merokok. Cara untuk berhenti merokok adalah dengan berhenti membeli dan mengicak rokok. Begitu juga dengan aku. Aku perlu jauh daripada Gadjet sebegitu. Jika tidak, aku akan menjadi seorang 'Zombie' yang hanya memandang Gadjetnya. Dunia aku akan menjadi dunia maya. Dan anda sendiri yang akan bosan melihat aku sebegitu.
Kedua, sekitar 2007, ketika itu Facebook sangat viral. Aku juga tidak terlepas daripada dijangkiti virus Facebook. Dan hari ini aku masih punyai akaun facebook. Aku melihat bahana FB itu sendiri. Betapa ianya telah menyebabkan pergaduhan. Betapa ianya medium fitnah yang sangat hebat. Fitnah 'duplicate' dengan kadar yang sangat laju. Banyak perkara di dalam FB. Sedikit yang baik tetapi banyak yang bersifat sampah. Banyak nasihat, fatwa, pernyataan agama yang agak keliru. Tidak tahu yang mana satu yang betul. Banyak yang tidak boleh dijadikan sandaran. Apatah lagi lahirnya 'keyboard warrior' yang kelihatan hebat tetapi sampah. Perbincangan pula tidak berpenghujung. Tiada keputusan. Anda pasti marah dengan aku tetapi itulah hakikat FB.
Kini lahir pula Whatsapp & Telegram. Eksklusif untuk SmartPhone. Mungkin anda lihat ianya biasa2 saja tetapi aku melihat fitnah yang lebih besar di dalamnya. Mungkin anda merasakan ianya medium yang mempercepatkan kerja tetapi aku melihat kesibukan dunia. Aku melihat lebih banyak sampah. Aku melihat gangguan ketenangan. Aku melihat kejauhan akhirat. Aku melihat manusia semakin hilang sifatnya. Aku melihat bayangan Dajjal.
Ketiga, laluan porno akan menjadi bertambah mudah. Hanya di jari anda! Pasti ramai lelaki yang akan marah dengan aku. Menafikan apa yang cuba aku ketengahkan. Namun, yang berdiam diri juga ramai. Terkesima dan tersinggung. Anggap sahaja ianya permulaan hidayah! Betapa beberapa kenalan aku yang selalu memuat turun porno dan gambar2 lucah serta di simpan di dalam Smartphone. Buat wanita, mungkin pembongkaran ini perkara baru buat anda. Sesekala cuba siasat apa yang ada dalam Smartphone suami2 dan anak2 lelaki anda. Manalah tahu mungkin ianya benar.
Keempat, ada satu sifat Smartphone yang tidak dapat dinafikan lagi iaitu Asyik. Asyik juga boleh membawa maksud leka. Terlalu leka juga akan membawa kepada lagha. Hari Raya Eidulfitri nanti cuba lihat sekeliling anda. Betapa perbualan saudara mara yang dahulunya bersifat rindu & seronok kini bertukar menjadi perbualan maya. Yang jauh mungkin berjaya didekatkan. Namun yang dekat akhirnya menjadi semakin jauh. Ke mana hilangnya kemanusiaan?
Aku tahu anda hebat sebab tidak terkesan sedikit pun dengan keburukan SmartPhone. Aku tahu anda punya iman yang kukuh untuk mengelakkan penyalahgunaannya. Aku tahu anda punyai disiplin yang ketat untuk membatasi penggunaannya. Aku tahu anda berjaya memperalatkannya untuk kegunaan akhirat. Maafkan aku, aku tidak mampu untuk semua itu. Maka, aku tidak pernah menghalang anda menggunakan Smartphone dan aku juga mahukan perkara yang sama dari anda. Jangan larang aku untuk menjauhkan diri daripada Smartphone. Wallahualam...

Khamis, 23 Jun 2016

Benarkah TV boleh memukau?

Setiap manusia yang normal mempunyai 5 deria yang berfungsi sebagai 'Receiver' atau penerima maklumat untuk diproses oleh otak. Sains telah menyenaraikan deria2 tersebut iaitu melihat, mendengar, menghidu, merasa dan sentuhan. Walaupun pengetahuan 'Sains Tanpa Tuhan' yang dipelajari di sekolah hari ini menetapkan hanya 5 deria, ketahuilah sebenarnya jika 'Sains Dengan Tuhan' pasti dapat menyenaraikan lebih daripada itu. Tetapi aku tidak mahu membincangkannya dalam catatan ini.
Manusia melihat dengan menggunakan mata. Walaupun terdapat mata lain, namun kebanyakan manusia hanya melihat menggunakan mata fizikal. Mata adalah merupakan deria terpenting untuk mendapatkan ilmu pada hari ini. Aku tidak nafikan deria yang lain, namun pembelajaran secara grafik adalah yang paling banyak dilakukan oleh manusia.
Mata banyak mencorakkan tingkahlaku manusia. Lihat sahaja anak2 kita, apa sahaja yang kita lakukan pasti akan ditiru oleh mereka. Mereka banyak belajar dengan apa yang dapat dilihat di sekeliling mereka. Pernah lihat anak2 kita meniru aksi2 kartun yang kerap mereka tonton? Pastinya kita akan tertawa melihat telatah mereka buat aksi Ultraman mem'fire' raksasa, Boboi Boy pecah 3, Didi & Friend berjoget dll. Adakalanya mereka melakukan aksi2 tersebut tanpa sedar dek kerana hanyut dalam dunia khayalan mereka sendiri. Apa yang kita nampak?
Pernah dengar ilmu pukau? Walaupun ada cara pukau menggunakan deria lain, tetapi kebanyakan pukau melibatkan mata. Bagaimana pula dengan ilmu tenungan ataupun 'ain'? Ataupun pukau secara Profesional yang sering dimuatnaik di dalam youtube? Andainya kita memerhati dengan teliti, kita akan dapati satu persamaan ilmu2 tersebut. Ianya melibatkan Mata! Dan juga Jin...
Jadi, bagaimana pula dengan TV? Adakah ianya benar2 boleh memukau sehinggakan mempengaruhi cara kita berfikir? Begini. Perasan atau tidak, tatkala kita mula menonton filem2 di TV, berapa lamakah masa yang diambil? Mungkin pada awalnya kita hanya ingin menonton filem tersebut sekadar 5 minit. Kemudian kita membelanja 10 minit pula dek kerana mula berasa seronok dengan filem tersebut. Akhirnya secara tidak sedar, kita akan cuba untuk menghabiskan menonton filem tersebut. Sehinggakan kita melewat2kan solat Fardhu. Pernah atau tidak perkara ini berlaku pada kita? Mungkin tidak selalu, tetapi pernah kan?
Bagaimana pula dengan perkataan2 yang menjadi viral? Misalnya, 'Lu', 'Gua', 'Meme ah', 'Wa sengat sama lu', 'Kasi sailang', dan banyak lagi. Mengapa ianya menjadi cara sebutan pada remaja? Tidak pernah dengar? Cuba sesekala anda diam dan dengar mereka bercakap sesama rakan2. Anda mungkin akan belajar sesuatu.

Masih ingat lagi tatkala kita menonton berita mengenai salahlaku oleh guru, polis ataupun pihak2 yang memegang kuasa2 tertentu di TV? Ketika kita rasakan marah terhadap mereka, adakah kita marah pada individu tersebut ataupun profession itu sendiri? Aku tidak perlukan jawapan daripada anda tetapi kejujuran. Jika tidak takkan lahirnya  ayat2 seperti 'Cikgu sekarang ini begitu & begini', 'Polis memang suka terima rasuah', 'Ustaz2 pun suka buat fitnah', 'Pakai jubah tetapi mengajar ajaran sesat' kan? Seolah2 di dalam ayat2 itu menggambarkan tiada guru yang baik, tiada polis yang amanah, tiada Ustaz yang jujur dan tiada kebenaran pada orang yang memakai jubah.
Ada satu kesan pukau TV yang paling dahsyat. Ianya berlaku tanpa kita sedari. Iaitu, butanya mata hati. Kata Imam Malik kepada Imam Syafie, "Sesungguhnya aku dapat lihat Allah telah mencampakkan cahaya di dalam hati kamu, maka janganlah kamu padamkannya dengan kegelapan maksiat". Mari sama2 kita mengingati kembali program2 TV yang selalu kita tonton. Apakah garis panduan program2 tersebut terhadap batas2 Islam seperti aurat? 

Suatu hari, aku pernah berjanji untuk menjaga mata daripada memandang yang haram sebagai latihan untuk memperbaiki lagi puasa. Kemudian, aku bersama2 dengan keluarga menonton sebuah drama melayu di rumah mak. Banyak kali aku terpaksa menoleh ke arah lain untuk mengelakkan diri daripada melihat aurat perempuan di dalam program tersebut. Bukan sahaja drama malahan iklan juga banyak melibatkan perempuan yang kadang2 jauh terlihat auratnya. Mungkin anda akan berfikir betapa jauhnya aku menyasar pemikiran (ataupun orang sekarang kata 'poyo'). Namun, jika anda benar2 jujur & berjanji untuk menjaga mata daripada yang maksiat, pastinya anda akan benar2 faham. Betapa susahnya untuk mengelakkan maksiat daripada TV!
Seterusnya, hilanglah perisai kita dan mudahlah puak2 Dajjal dan Yaajuj Maajuj menjalankan agendanya untuk mempengaruhi cara kita berfikir. Maka, jadilah kita sebuah sistem manusia yang cipnya telah direka dan di'install' untuk mengikut cara puak2 tersebut. Lahir>Sekolah Rendah>Sekolah Menengah>Universiti>Kerja>Ikut Peredaran Dunia>Pencen>Mati. Tidak percaya? Baiklah, cuba fikirkan suatu cara hidup kebanyakan manusia selain daripada tadi. Jika ada, pasti sangat sedikit. Dan jika anda berjaya dengan cara lain, pastinya anda manusia yang terasing.
Namun, janganlah takut untuk menjadi yang terasing. Jika kita yakin bahawa ianya menepati kehendak Allah & RasulNya, ianya merupakan suatu kebijaksanaan. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah atas penghakiman dunia, ianya penghakiman akhirat. Dan hadis, "Sesungguhnya Islam itu asalnya asing dan ianya akan kembali asing", bukanlah suatu yang jarang kita dengar. Sudahkah anda memilih?...

Selasa, 21 Jun 2016

Dipukau Tanpa Sedar?

Dunia Moden bermula sekitar 100 tahun dahulu. Terlalu banyak perubahan yang berlaku di serata dunia sejak lahirnya Dunia Moden ini. Perubahan yang berlaku pula terlalu cepat. Andainya dunia berumur 10,000 tahun, mengapa perubahan 9,900 tahun dahulu terlalu lambat? Mengapa pula 100 tahun Dunia Moden berlalu dengan terlalu banyak perubahan? Sama ada yang baiknya ataupun yang buruknya.
Di antara perkara yang berlaku di dalam Dunia Moden ialah lahirnya sebuah kotak cahaya yang diberi nama Televisyen. Mungkin di awal abad 1900, tidak ramai yang memiliki kotak ini. Namun kini ianya adalah suatu 'kemestian' bagi setiap rumah. Bagi orang yang berduit, pastinya akan cuba memiliki televisyen yang paling canggih dan terkini teknologinya. Bagi yang kurang berduit, mungkin agak kurang sedikit spesifikasinya. Namun ianya tetap kemestian untuk setiap rumah.
Disebabkan ianya suatu kemestian, maka jarang sangat kita menjumpai rumah yang tiada televisyen. Kebanyakkan orang pastinya bersetuju bahawa ianya merupakan sebuah teknologi yang boleh menambah pengetahuan walaupun mereka juga faham bahawa terdapat keburukannya juga. Cuma, keburukan TV biasanya diabaikan sahaja dek kerana hati terhibur dengan rancangan2nya. Apatah lagi bila datangnya Syarikat TV Berbayar seperti ASTRO, UNIFI dll. Terdapat banyak pilihan rancangan sesuatu dengan kemampuan masing2.
Namun ramai yang tidak sedar bahawa salah satu sebab utama TV dicipta ialah untuk mempengaruhi fikiran rakyat oleh pemerintah sebelum Perang Dunia ke 2 (https://ms.wikipedia.org/wiki/Televisyen). Televisyen yang bermula kegunaannya secara praktikal di Jerman, telah dijadikan sebuah alat propaganda. Setiap maklumat ditapis. Maklumat yang baik dan penting bagi pemerintah akan diwar2kan ke seluruh negara. Sedangkan maklumat yang bahaya, akan disekat daripada diketahui umum. Sehinggakan ada pemerintah yang menyembunyikan kebenaran dan menghebahkan kebohongan. TV merupakan di antara penyumbang utama kepada Perang Dunia ke 2.
Hari ini, banyak pemikiran kita yang dicorak oleh TV. Pertama, cara kita berpakaian. Kalau anda benar2 bijak, namakan sebuah negara yang tidak dipengaruhi oleh 'Blue Jeans'? Ataupun dengan kata lain, terpengaruh dengan cara pakaian jeans? Dari manakah asalnya Jeans? Ya, mungkin ramai yang kata tiada salahnya memakai jeans namun apa yang ingin aku ketengahkan ialah dunia kini dipengaruhi oleh cara pemakaian seperti ini. Dari mana mereka ketahui cara pemakaian ini? Dengan menggunakan sedikit akal, pastinya anda mampu menjawabnya.
Kedua, ramai di antara kita yang bertanya soalan seperti "Kau ada Colgate?", "Hari ini kita makan Maggie nak?", "Pinjam Febreeze boleh?", "Abang sudah beli pampers?". Apakah yang anda sedar mengenai soalan2 ini? Ya, secara tidak sedar, kita telah menggantikan perkataan bahan2 itu dengan jenamanya. Mengapa terjadinya demikian? Sebenarnya, otak di bawah sedar kita telah menerima jenama2 tersebut menjadi sebahagian daripada sebutan utama kita. Ianya berlaku dengan penerimaan maklumat yang berulang melalui mata kita serta disimpan di otak. Itu bermaksud, perilaku kita telah berjaya dikawal oleh iklan2 tersebut tanpa kita sedar.
Ketiga, bertitik tolak daripada kawalan minda ini maka banyak pemerintah yang menggunakan TV untuk menyebarkan propaganda mereka. Maka hanya bahan yang baik untuk survival mereka sahaja yang akan ditayangkan di TV. Ini akan menyebabkan bertambahnya sokongan rakyat terhadap mereka. Sekejap! Anda jangan pula fikir aku ini dari golongan pembangkang pula! Malahan jika anda benar2 kenal, aku jauh daripada syirik demokrasi ini. Pemerhatian yang aku lakukan berada diluar daripada konteks politik. Aku melihat perkara daripada kesedaran seorang manusia, bukan kekotoran politik!
Keempat, mungkin TV tidak memberi pengaruh kepada anda. Mungkin anda seorang manusia yang mempunyai aras pemikiran yang tinggi. Namun, bagaimana pula dengan anak2 anda? Apakah anda benar2 yakin bahawa kartun2 yang ditayangkan di TV itu hanya sekadar hiburan untuk anak2 anda? Apakah ianya tidak langsung memberi kesan kepada anak2 anda? Ambil masa dan buat sedikit kajian. Jika tiada masa, boleh sahaja melayari youtube mengenai kesan TV kepada anak2. Terlalu banyak yang boleh kita belajar. Maka, jika TV benar2 dapat mempengaruhi cara anak2 anda berfikir, bagaimana pula apabila dia sudah besar? Cuba lihat sekeliling anda, bagaimanakah keadaan moral remaja zaman sekarang? Adakah ianya semakin baik?
Banyak lagi sebenarnya keburukan TV yang dapat memberi kesan kepada cara kita berfikir. Aku mengagumi pakcik aku mendidik anak2nya tanpa TV. Walaupun ianya tidak secara statistik, pakcik aku merupakan salah seorang daripada ayah2 yang berjaya mendidik anaknya! Dan dia tidak punya TV dirumahnya sejak dahulu. Sekarang, anak2nya (sepupu aku) ada di antaranya seorang Doktor, Pegawai Tadbir & Diplomatik, Engineer, Ustaz Tahfiz, Ahli Perniagaan. Dahulu ramai yang memberi tanggapan negatif mengenai cara dia mendidik anaknya. Hari ini bila terbukti caranya berkesan, semua diam & menutup mulut. Dan cara pengamalan Islam anak2nya sangat baik. Mereka kaya dalam kesederhanaan. Semoga Allah mengurniakan keturunan yang baik buat kita semua. Wallahualam.

Isnin, 20 Jun 2016

Meniti Dunia Moden di Akhir Zaman...

Akhirzaman itu telah lama bermula. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan tanda pertama akhirzaman. Baginda merupakan Rasul terakhir dan mendapat gelaran Nabi Akhir Zaman. Ya, sedar ataupun tidak, kita telah 1400 tahun berada di dalam akhir zaman. Namun manusia semakin lena dibuai mimpi keduniaan. Sehinggakan hidup ini terasa untuk dunia, bukan lagi akhirat. Majoriti manusia mengamalkan kehidupan lahir-belajar-bekerja-ikut peredaran dunia semasa-tua-mati.
Dunia moden hari ini sangat menggiurkan tetapi laluannya juga sukar. Bagi mereka yang mengejar dan mengikut peredaran semasa, dunia ini sangat tinggi untuk dicapai. Namun mereka tidak pernah jemu mengejar. Masa, keringat, harta sanggup dikorbankan asalkan tidak tertinggal dibelakang. Kalau boleh, rumah sekurang2nya teres. Penuh dengan interior design yang kelihatan mewah & selesa. Kereta pula merupakan suatu kemestian. Kalau boleh, setiap 5 tahun hendak tukar kereta. Semakin lama semakin hebat keretanya. Atau semakin banyak. Apatah lagi orang yang benar2 berduit. Semakin besar pula kehendaknya. Seronok melayan nafsu tanpa sedar. "Apa salahnya, aku kan mampu?".
Mampu? Sehingga sanggup berperang dengan Allah & RasulNya (Al-Baqarah, ayat 278-279) dengan terlibat di dalam riba?! Aku pernah bertemu dengan beberapa orang yang membeli rumah & kereta dengan tunai tanpa hutang. Namun, berapa ramaikah mereka? Angka 100 pun belum tentu! Maka, apakah definisi 'mampu' dunia hari ini? Ya, mampu berhutang dengan riba! Bank Islam? Betapa ramai yang tertipu dengan topeng Bank Islam ini. Aku tidak membincangkannya dalam catatan ini. Mungkin pada masa yang lain.
Aku tidak menafikan bahawa ada orang yang benar2 kaya harta yang taqwanya tinggi pada Allah s.w.t. Namun, aku yakin anda juga bersetuju bahawa lebih ramai orang yang kaya hutang dan kaya riba daripada kaya taqwa ini. Sekurang2nya aku menggambarkan cara hidup di Malaysia ini. Sebuah negara yang ekonominya berasaskan hutang. Orang2 ekonomi pasti tahu, apa yang bakal berlaku kepada negara yang dibina berasaskan hutang.
Maka ramai yang bertanya, "Kalau tidak berhutang, tidak merasalah pakai kereta & beli rumah?". Ya, di situlah terletaknya ujian Allah. Tatkala bertembung di antara Larangan Riba dan Kehendak, apa saja pilihan kita, akan menentukan hubungan kita dengan Allah s.w.t. Andainya kita memilih untuk mengikut perintah Allah, kita perlu redha dan bersyukur dengan apa yang kita ada. Sama ada rumah yang kecil ataupun hanya mampu menyewa. Namun, Allah bersama2 dengan kita. Andainya kita memilih untuk terlibat dengan riba, maka selesalah sementara memiliki rumah idaman kita di dunia ini. Namun ianya dibeli dengan sebuah pengkhianatan kepada Allah!
Jangan marah aku. Kadang2 kebenaran itu menyakitkan. Kebenaran juga akan membuatkan Islam kembali asing suatu hari nanti. Kerana kebenaran bukannya majoriti. Kebenaran tetap benar walaupun ianya minoriti. Aku tidak menafikan mereka yang mampu beli kereta dan rumah tanpa hutang. Tentu sekali mereka orang yang hebat! Namun pada mereka yang berhutang dengan riba, sedarlah bahawa riba itu merupakan salah satu daripada dosa2 besar. Dan dosa yang paling ringan untuk riba adalah sama seperti dosa seorang lelaki yang meniduri ibunya sendiri (HR Ibnu Majah)!
Wallahualam...

Ahad, 19 Jun 2016

Watak Jahat (Super Villain) Di Akhir Zaman...

Siapa yang tidak kenal dengan watak Superman? Ataupun Batman? Mungkin juga watak-watak Marvel seperti Wolverine, Captain America, ataupun Iron Man? Aku pasti ramai di antara kita yang membesar bersama2 watak2 Adiwira seperti ini.
Maka, tidak dapat tidak, anda juga pasti mengenal watak2 jahat seperti Joker, Riddler ataupun Penguin. Mungkin juga Magneto, Apocalypse dan lain2nya. Watak2 ini juga membesar bersama2 dengan kita. Watak2 jahat yang hanya hidup di alam fantasi.
Namun sedarkah kita bahawa, watak2 jahat yang sebenar adalah wujud di alam nyata? Watak2 ini semakin jelas ketika kita semakin hampir kepada Hari Kiamat. Watak2 ini memainkan peranan penting dalam mencorak hidup manusia di akhir zaman. Kita perlu sedar akan kewujudan watak2 ini supaya kita dapat mengenalpasti punca permasalahan dunia pada hari ini. Bangunlah dari alam fantasi!
Berikut beberapa watak 'Super Villain' yang dapat dikesan setakat ini:
Nama Watak
Asal-usul & Ciri-ciri
Super Power
Iblis
(Al-baqarah, ayat 34)
Ø  Iblis berasal daripada jin yang kuat beribadah sehingga dilantik sebagai Ketua Tentera Malaikat. Namanya Azazil (Tafsir At-Thabari  I/302)
Ø  Mendapat gelaran Iblis setelah enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. disebabkan oleh keegoannya (Al-baqarah, ayat 34).
Ø  Iblis bukanlah malaikat tetapi daripada golongan Jin yang berasal dari api (Al-Kahf, ayat 50).
Ø  Menghasut manusia dan jin untuk menuruti perintahnya (Saba’, ayat 20).
Ø  Sihir (Al-Baqarah, ayat 102).
Ø  Memperdaya manusia ke neraka (Al-A’raaf, ayat 16-18).
Ø  Hidup hingga kiamat (Al-A’raaf, ayat 14-15).
Ø  Ghaib (Al-A’raaf, ayat 27)
Syaitan
(An-nas)
Ø  Merupakan anak2 kepada Iblis.
Ø  Juga daripada golongan Jin yang berasal dari api (Ar-Rahman, ayat 15).
Ø  Jumlahnya sangat ramai (Riwayat Al-Hakim).
Ø  Menghasut manusia untuk menuruti perintahnya(an-Nur, ayat 21).
Ø  Sihir (Al-Baqarah, ayat 102).
Ø  Memperdaya manusia ke neraka (Faatir, ayat 6).
Ø  Ghaib (Al-A’raaf, ayat 27)
Jin Kafir
(Jin, ayat 14)
Ø  Golongan Jin yang bukan berketurunan Iblis.
Ø  Musuh kepada Jin2 Islam.
Ø  Berasal dari api (Ar-Rahman, ayat 15).
Ø  Merasuk dan merosakkan tubuh manusia (HR Muslim).
Ø  Bersekongkol dengan manusia syaitan untuk memperdaya manusia (Jin, ayat 6).
Ø  Sihir (Al-Baqarah, ayat 102).
Ø  Ghaib (Al-A’raaf, ayat 27)
Dajjal
(Mutafakun Alaih)
Ø  Manusia dari keturunan Yahudi (HR Ahmad).
Ø  Buta mata sebelah kanannya. Di dahinya terdapat tulisan kaf, fa dan ra yang hanya boleh dibaca oleh orang Mukmin (HR Bukhari).
Ø  Penipu Agung yang dicipta oleh Allah sebagai ujian buat umat manusia (HR Muslim 2946).
Ø  Memperdaya manusia kepada kesesatan dengan tipu daya yang sangat hebat (HR Muslim).
Ø  Punyai keldai tunggangan yang bergerak selaju angin (HR Muslim).
Yaajuj & Maajuj
(Al-Anbiya, ayat 96)
Ø  Manusia dari keturunan Yafaats bin Nuh (Tafsir Ibu Katsir).
Ø  Pernah dikurung di dalam dinding besi buatan Zulkarnain (Al-Kahf, ayat 94).
Ø  Kaum yang suka membuat kerosakan. Kerosakannya sangat besar sehingga merosakkan muka bumi (Al-Kahf, ayat 94).
Ø  Melakukan kerosakan kepada semua sistem hidup manusia (HR Muslim).
Ø  Tidak akan kalah sehingga kedatangan Nabi Isa a.s. (HR Muslim)
Yahudi yang bersekutu dengan Kristian
(Al-Maidah, ayat 51)
Ø  Bani Israel tidak pernah mengiktiraf Nabi Isa sebagai seorang Nabi. Mana mungkin mereka boleh setuju dengan ajaran Kristian.
Ø  Kristian pula mempercayai bahawa Yahudi yang menyalib Nabi Isa a.s. Mana mungkin mereka boleh bersekongkol dengan Yahudi yang membunuh nabi mereka.
Ø  Maka, sekutu Yahudi + Kristian adalah suatu perkara yang mencurigakan!
Ø  Tentera Bersekutu yang sangat kuat (NATO).
Ø  Memerintah dunia (New World Order) melalui UN.
Manusia Syaitan
(An-nas)
Ø  Manusia yang gemar melakukan kejahatan.
Ø  Memanipulasi manusia lain untuk keuntungan diri sendiri.
Ø  Menuruti pujukan Jin Syaitan untuk melaksanakan agendanya(Jin, ayat 6).
Ø  Boleh berhubung dengan jin (Jin, ayat 6).
Ø  Sihir (Al-Baqarah, ayat 102) yang dibantu oleh jin.
Ø  Manipulasi manusia lain (An-nas).

Mungkin ada di antara kita yang boleh menghurai lanjut mengenai watak2 di atas. Ataupun mungkin terdapat watak2 tambahan yang boleh diambil kira sebagai 'Super Villain' akhir zaman. Walaubagaimanapun, aku tidak lepas daripada melakukan kesalahan. Seperti yang telah aku catatkan sebelum ini, jangan ambil bulat2 apa yang aku catatkan ini. Mungkin anda perlu membuat sedikit 'Home Work' untuk memastikan kesahihannya. Wallahualam...

Biarkan saja Dajjal & Yaajuj Maajuj...

Allah s.w.t. yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia melalui 4 kejadian sehinggakan tiada lagi yang berani mempersoalkan penciptaan manusia. Allah telah menjadikan manusia yang tiada induk lelaki dan tiada induk perempuan. Itulah Nabi Adam a.s. Allah juga telah menjadikan manusia yang tiada induk perempuan tetapi punya induk lelaki. Itulah Hawa a.s. Selain itu, Allah telah menjadikan manusia yang tiada induk lelaki tetapi punya induk perempuan. Itulah Nabi Isa a.s. Manakala, kita semua merupakan manusia yang Allah jadikan daripada percampuran induk lelaki dan induk perempuan.
Bertitik tolak daripada itu, maka kita semua pastinya punya ayah & ibu. Manakala, sesetengah daripada kita punya anak lelaki & anak perempuan. Aku pasti, Insyaallah, setiap daripada kita yang normal akan menyayangi ibu, ayah & anak2 kita. Tidak lepas juga sayang itu untuk isteri, adik beradik dan saudara mara kita.
Maka, yang mana satukah di antara mereka yang sanggup kita biarkan untuk ditipu oleh Sang Dajjal ataupun Yaajuj Maajuj? Sudahkah kita pastikan mereka sudah punya cukup ilmu dan amalan untuk mengelakkan fitnah akhir zaman atau lebih tepat lagi fitnah Dajjal? Apakah kita fikir bahawa fitnah Dajjal itu sama seperti seorang budak sekolah menipu rakan2nya? Andainya kita punya perasaan sayang pada mereka, maka usahakanlah sesuatu...
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sukakah aku ceritakan kepadamu tentang Dajjal, yang belum diberitakan oleh Nabi kepada kaumnya. Sungguh Dajjal itu buta mata sebelahnya dan ia akan datang membawa sesuatu yang menyerupai syurga dan neraka, adapun yang dikatakan syurga, maka itu adalah neraka. Dan aku memperingatkan kalian sebagaimana Nabi Nuh a.s memperingatkan kepada kaumnya. (Riwayat Bukhari)
Sesungguhnya Dajjal itu merupakan Penipu Agung yang dijadikan oleh Allah sebagai ujian buat umat manusia. Sejak zaman Nabi Nuh lagi, Dajjal telah diperingatkan oleh setiap nabi mengenai kedatangannya. Seandainya Nabi Muhammad s.a.w. sendiri yang telah memberi amaran mengenai bahayanya fitnah dajjal, adakah kita boleh menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa saja?
Ramai yang keliru mengenai apa yang penting. Mereka banyak mencari jawapan kepada persoalan, "Bilakah Dajjal akan muncul?" dan "Di manakah munculnya Dajjal?. Sedangkan soalan yang sepatutnya bermain difikiran setiap manusia yang sedar ialah "Bagaimanakah menghadapi fitnah Dajjal dan Yaajuj Maajuj?" ataupun "Apakah panduan Al-Quran & Hadis mengenai cara menghadapi fitnah Dajjal & Yaajuj Maajuj?".
Zaman kekuasaan Dajjal & Yaajuj Maajuj itu terasa sangat hampir kepada yang sedang membuka mata hatinya. Terlalu banyak tanda seperti semakin keringnya air di Tasik Galilee (Tasik Tabariyah), Kejatuhan Kota Madinah yang dahulunya dianggap sebagai Pusat Agama Islam dll kini telah berlaku. Kita yang terlalu memerlukan dunia sehingga mengejar 'life style' dunia moden akan terlalu mudah untuk ditipu oleh Dajjal & pengikutnya. Lalu, dimanakah kita perlu mencari 'Islam yang terasing' itu?...

Sabtu, 18 Jun 2016

Yaajuj & Maajuj itu keturunan manusia!

Hebatnya Al-Quran serta mukjizatnya! Andainya seluruh lautan dijadikan dakwat untuk menulis kelebihannya, pasti tidak cukup untuk menerangkannya. Dan seandainya manusia  mengumpul seluruh kelebihannya untuk dirumuskan, pastinya jauh daripada kesempurnaan Allah menyusunnya di dalam sebuah kitab.
Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
Mereka berkata:"Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yaajuj dan Maajuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?". Surah Al-Kahf, ayat 94.
Yaajuj & Maajuj merupakan manusia daripada keturunan Yaafats bin Nuh. Nabi Nuh a.s. mempunyai 3 orang anak iaitu Saam, Haam & Yaafats. Yaafats merupakan moyang kepada Bangsa Turki. Perkara ini disebut di dalam Tafsir Ibnu Katsir. Maka, ianya jelas bahawa Yaajuj & Maajuj di akhir zaman merupakan manusia daripada 2 keturunan Yaafats.

Seterusnya, ini membawa maksud bahawa Yaajuj & Maajuj merupakan spesies Homo sapien yang mempunyai genetik manusia dan bukannya haiwan! Aku menegaskan perkara ini untuk menafikan sekeras2nya dakwaan bahawa Yaajuj & Maajuj itu sejenis makhluk yang mempunyai gigi taring yang panjang, berwajah hodoh & berkulit menggerutu seperti di dalam filem2 hollywood. Seandainya Yaajuj & Maajuj sebegitu buruk, pastinya mereka bukan daripada genetik Homo sapien. Sedangkan monyet pun sudah punya genetik yang lain daripada manusia!
Penjelasan di dalam Tafsir Ibnu Katsir juga telah menafikan dakwaan bahawa Yaajuj & Maajuj itu merupakan lahar letusan gunung berapi. Aku tidak menafikan bahawa gunung berapi akan banyak meletus di akhir zaman sebagai asbab untuk menyebabkan datangnya Hari Kiamat. Namun, Yaajuj & Maajuj bukanlah lahar gunung berapi seperti yang digembar-gemburkan di dalam youtube. Pendapat sebegitu tidak berasas sama sekali! Yaajuj & Maajuj itu merupakan 'kaum yang  suka melakukan kerosakan'. Andainya mereka adalah lahar gunung berapi, mana mungkin mereka dengan sengaja merosakkan bumi ini? Pastinya kita akan mengatakan bahawa itu merupakan 'bencana alam'. Maka, logik seperti ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa Yaajuj & Maajuj itu bukannya lahar gunung berapi.

Maka, fahamlah kita bahawa Yaajuj & Maajuj yang berperanan perosak di akhir zaman itu merupakan seorang manusia seperti kita. Namun mereka merupakan kaum yang pasti menang melakukan kerosakan sehinggalah Nabi Isa a.s. & tenteranya menghapuskan mereka suatu hari nanti. Sehingga itu, apakah peranan kita? Adakah cukup dengan melakukan rutin harian kita tanpa berusaha sesuatu? Sedarkah kita bahawa kejayaan hari esok merupakan ikhtiar pada hari ini? Mungkin kita boleh mulakan dengan mencari ilmu tanpa jemu. Wassalam....

Jumaat, 17 Jun 2016

Siapakah Yaajuj & Maajuj Di Dalam Al-Quran?....

Perlunya kepada guru untuk memahami Al-Quran adalah benar. Kita pastinya akan menyimpang jauh seandainya cuba memahami Al-Quran dengan pemahaman sendiri. Apatah lagi Ilmu Al-Quran pada hari ini telah diangkat (hilang) sedikit demi sedikit oleh Allah. Semakin manusia mendekati Hari Kiamat semakin bertambahnya kejahilan.
Namun hidup di akhir zaman ini memerlukan Al-Quran sebagai rujukan. Malah, ianya menjadi semakin penting berbanding fasa-fasa Umat Nabi Muhammad sebelum ini. Maka, janganlah terlalu takut untuk membuka Tafsir Al-Quran untuk dirujuki. Ketakutan membuka Al-Quran ini wajib dibendung sama sekali. Aku juga tidak terlepas daripada momokan bahawa 'baca tafsir Al-Quran boleh menjadi sesat'. Kenyataan ini sama sekali tidak benar! Apa yang penting ialah cara kita menggunakannya iaitu sebagai rujukan, bukannya untuk mentafsir sendiri...
Yaajuj Maajuj telah disebut dengan jelas di dalam Al-Quran sebanyak 2 kali iaitu di dalam Surah Al-Kahf, ayat 94 dan Surah Al-Anbiya', ayat 96. Perbezaan yang ketara di antara kedua-dua ayat tersebut ialah Surah Al-Kahf, ayat 94 menceritakan mengenai sejarah ataupun asal-usul Yaajud Maajud, manakala di dalam Surah Al-Anbiya', ayat 96 pula memberikan kita panduan mengenai kedatangan semula Yaajud Maajud pada masa hadapan.
Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
Mereka berkata:"Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yaajuj dan Maajuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?". Surah Al-Kahf, ayat 94.
Ayat 94, Surah Al-Kahf ini mempunyai tafsiran ulama yang sangat panjang. Namun, ada beberapa perkara di dalam surah ini yang aku ingin sentuh. Pertama, Yaajuj dan Maajuj itu merupakan manusia dan bukannya makhluk menakutkan (selalu digambarkan oleh Hollywood sebagai Orc, Goblin dll). Ianya juga bukan bencana alam seperti letusan gunung berapi seperti yang digembar-gemburkan di dalam youtube.
Kedua, mereka merupakan manusia yang gemar melakukan kerosakan. Kerosakan bagaimana? Adakah kerosakan2 kecil seperti pembalakan haram, pencemaran alam oleh kilang dsb? Sekiranya Allah menggambarkan secara terperinci dengan menyebut nama bangsa mereka, pastinya mereka ini bukan calang2 perosak! Kerosakan yang terhasil pastinya memberi kesan kepada seluruh dunia! Begitu banyak kerosakan yang telah dilakukan oleh mereka pada hari ini. Kita hanya perlu membandingkan di antara Alam Semulajadi dan Dunia Moden. Terfikirkan sesuatu?
Ketiga, Zulkarnain yang telah diberikan kelebihan oleh Allah untuk mencapai segala usahanya (Surah Al-Kahf, ayat 84), hanya mampu bersetuju untuk membuat dinding pemisah untuk menghalang kemaraan Yaajuj & Maajuj. Mengapa Zulkarnain tidak memerangi sahaja mereka? Bukankah Allah telah memberikan kelebihan kepadanya. Ini menunjukkan bahawa Yaajuj & Maajuj bukanlah bangsa manusia yang mudah dikalahkan. Allah s.w.t. telah mentakdirkan bahawa Yaajuj & Maajuj perosak terhebat dan hanya setelah kedatangan Nabi Isa a.s. mereka akan dikalahkan
Keempat, terdapat dinding pemisah di antara Yaajuj & Maajuj dan manusia lain. Namun dinding ini telahpun diruntuhkan sekian lama. Terdapat 9 hadis berlainan daripada riwayat Sahih Bukhari menyentuh berkenaan hal ini. Aku berikan salah satu rujukannya. "Diriwayatkan oleh Abu Hurairah: Bersabda Rasulullah s.a.w.: Sebuah lubang telah terbuka di dalam benteng Yaajuj & Maajuj. Wuhaib (perawi kedua) telah membentuk angka 90 (dengan ibu jari dan jari telunjuknya)". Bayangkan, 1400 tahun dahulu ianya telah berlubang, apakah yang telah terjadi kepada dinding itu pada hari ini?
Sebenarnya di dalam Tafsir Ibnu Katsir telah menjelaskan bahawa dinding itu telah didapati runtuh oleh sekumpulan petugas yang dihantar oleh Khalifah sekitar 50H. Maka, apalagi yang tinggal? Adakah kita masih ingin menunggu bangsa manusia yang punya rupa hodoh, bergigi taring dan berkulit menggerutu seperti yang digambarkan oleh filem2 inggeris dan kemudian baru kita hendak bangun daripada tidur? Tidakkah Al-Quran & Hadis itu rujukan kepada kita yang mengaku Islam? Ayuh usahakan sesuatu...