Jumaat, 24 Jun 2016

Mengapa Aku Tiada Smartphone?

Komunikasi merupakan suatu proses pemindahan maklumat daripada Pemancar kepada Penerima. Pemancar dan penerima ini boleh berubah peranan ketika diperlukan. Pemancar dan penerima tidak semestinya alatan atau gadjet, ianya mungkin juga merupakan komunikasi langsung daripada seorang manusia kepada manusia lain. Ataupun lebih umum daripada makhluk kepada makhluk yang lain.
Melalui masa, manusia mula meningkatkan lagi keberkesanan komunikasi dengan ciptaan demi ciptaan. Mungkin suatu masa dahulu komunikasi mengambil masa berhari-hari ataupun bertahun-tahun, namun teknologi hari ini membuatkan komunikasi itu semudah muka bertemu muka walaupun berada di tempat yang berlainan dan jauh. Begitu mudah mencapai maklumat. Dunia hanya dijari anda!
Mungkin ramai yang menggelar aku Melayu Ortodox. Seolah2 aku ini anti kepada kemajuan. Tiada smartphone. Tiada akaun Whatsapp. Apatah lagi aplikasi Telegram. Sehinggakan ada yang sanggup menawarkan untuk membelikan sebuah Smartphone kepada aku (cakap kosong saja). Alhamdulillah, sehingga sekarang aku masih tetap pada pendirian aku untuk tiada Smartphone. Ramai sangat yang bertanya sebab kepada pendirian aku itu. Pada mereka, aku ini hanya akan melambatkan kerja mereka, cuba mengelakkan diri, ada masalah mental dll. Aku ada jawapan untuk itu tetapi sejauh manakah anda akan memahami?...
Pertama, sejak aku mengenali dunia IT sekitar tahun 1998, aku adalah seorang pencinta IT ketika itu. Malahan, setelah kenal dengan permainan 'War Craft', aku menjadi seorang Gamers yang agak teruk. Aku tidak berniat untuk membongkar kehidupan semasa zaman jahiliyah tetapi ada yang perlu aku jelaskan. Betapa teruknya aku sebagai seorang Gamers sehinggakan ianya berterusan hingga tahun 2010. Kalau setakat permainan video 'ayam2' seperti Candy Crush, CafeWorld dll, itu biasa2 sahaja. Namun kalau anda kenal game seperti Fallout, Might & Magic, Wizard & Warrior dll, mungkin anda juga seperti aku. Ianya bukan boleh habis dalam masa sehari dua malahan jika main tanpa 'Cheat Code', boleh ambil masa bertahun!
Kesedaran terhadap pembaziran masa bermain permainan video ini membuatkan aku takut untuk memiliki gadjet yang bernama SmartPhone. Mungkin ada yang berkata, "Pandai2 lah nak bahagi masa". Secara jujur, seorang perokok sangat sukar untuk berhenti merokok. Cara untuk berhenti merokok adalah dengan berhenti membeli dan mengicak rokok. Begitu juga dengan aku. Aku perlu jauh daripada Gadjet sebegitu. Jika tidak, aku akan menjadi seorang 'Zombie' yang hanya memandang Gadjetnya. Dunia aku akan menjadi dunia maya. Dan anda sendiri yang akan bosan melihat aku sebegitu.
Kedua, sekitar 2007, ketika itu Facebook sangat viral. Aku juga tidak terlepas daripada dijangkiti virus Facebook. Dan hari ini aku masih punyai akaun facebook. Aku melihat bahana FB itu sendiri. Betapa ianya telah menyebabkan pergaduhan. Betapa ianya medium fitnah yang sangat hebat. Fitnah 'duplicate' dengan kadar yang sangat laju. Banyak perkara di dalam FB. Sedikit yang baik tetapi banyak yang bersifat sampah. Banyak nasihat, fatwa, pernyataan agama yang agak keliru. Tidak tahu yang mana satu yang betul. Banyak yang tidak boleh dijadikan sandaran. Apatah lagi lahirnya 'keyboard warrior' yang kelihatan hebat tetapi sampah. Perbincangan pula tidak berpenghujung. Tiada keputusan. Anda pasti marah dengan aku tetapi itulah hakikat FB.
Kini lahir pula Whatsapp & Telegram. Eksklusif untuk SmartPhone. Mungkin anda lihat ianya biasa2 saja tetapi aku melihat fitnah yang lebih besar di dalamnya. Mungkin anda merasakan ianya medium yang mempercepatkan kerja tetapi aku melihat kesibukan dunia. Aku melihat lebih banyak sampah. Aku melihat gangguan ketenangan. Aku melihat kejauhan akhirat. Aku melihat manusia semakin hilang sifatnya. Aku melihat bayangan Dajjal.
Ketiga, laluan porno akan menjadi bertambah mudah. Hanya di jari anda! Pasti ramai lelaki yang akan marah dengan aku. Menafikan apa yang cuba aku ketengahkan. Namun, yang berdiam diri juga ramai. Terkesima dan tersinggung. Anggap sahaja ianya permulaan hidayah! Betapa beberapa kenalan aku yang selalu memuat turun porno dan gambar2 lucah serta di simpan di dalam Smartphone. Buat wanita, mungkin pembongkaran ini perkara baru buat anda. Sesekala cuba siasat apa yang ada dalam Smartphone suami2 dan anak2 lelaki anda. Manalah tahu mungkin ianya benar.
Keempat, ada satu sifat Smartphone yang tidak dapat dinafikan lagi iaitu Asyik. Asyik juga boleh membawa maksud leka. Terlalu leka juga akan membawa kepada lagha. Hari Raya Eidulfitri nanti cuba lihat sekeliling anda. Betapa perbualan saudara mara yang dahulunya bersifat rindu & seronok kini bertukar menjadi perbualan maya. Yang jauh mungkin berjaya didekatkan. Namun yang dekat akhirnya menjadi semakin jauh. Ke mana hilangnya kemanusiaan?
Aku tahu anda hebat sebab tidak terkesan sedikit pun dengan keburukan SmartPhone. Aku tahu anda punya iman yang kukuh untuk mengelakkan penyalahgunaannya. Aku tahu anda punyai disiplin yang ketat untuk membatasi penggunaannya. Aku tahu anda berjaya memperalatkannya untuk kegunaan akhirat. Maafkan aku, aku tidak mampu untuk semua itu. Maka, aku tidak pernah menghalang anda menggunakan Smartphone dan aku juga mahukan perkara yang sama dari anda. Jangan larang aku untuk menjauhkan diri daripada Smartphone. Wallahualam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan