Sabtu, 18 Jun 2016

Yaajuj & Maajuj itu keturunan manusia!

Hebatnya Al-Quran serta mukjizatnya! Andainya seluruh lautan dijadikan dakwat untuk menulis kelebihannya, pasti tidak cukup untuk menerangkannya. Dan seandainya manusia  mengumpul seluruh kelebihannya untuk dirumuskan, pastinya jauh daripada kesempurnaan Allah menyusunnya di dalam sebuah kitab.
Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
Mereka berkata:"Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yaajuj dan Maajuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?". Surah Al-Kahf, ayat 94.
Yaajuj & Maajuj merupakan manusia daripada keturunan Yaafats bin Nuh. Nabi Nuh a.s. mempunyai 3 orang anak iaitu Saam, Haam & Yaafats. Yaafats merupakan moyang kepada Bangsa Turki. Perkara ini disebut di dalam Tafsir Ibnu Katsir. Maka, ianya jelas bahawa Yaajuj & Maajuj di akhir zaman merupakan manusia daripada 2 keturunan Yaafats.

Seterusnya, ini membawa maksud bahawa Yaajuj & Maajuj merupakan spesies Homo sapien yang mempunyai genetik manusia dan bukannya haiwan! Aku menegaskan perkara ini untuk menafikan sekeras2nya dakwaan bahawa Yaajuj & Maajuj itu sejenis makhluk yang mempunyai gigi taring yang panjang, berwajah hodoh & berkulit menggerutu seperti di dalam filem2 hollywood. Seandainya Yaajuj & Maajuj sebegitu buruk, pastinya mereka bukan daripada genetik Homo sapien. Sedangkan monyet pun sudah punya genetik yang lain daripada manusia!
Penjelasan di dalam Tafsir Ibnu Katsir juga telah menafikan dakwaan bahawa Yaajuj & Maajuj itu merupakan lahar letusan gunung berapi. Aku tidak menafikan bahawa gunung berapi akan banyak meletus di akhir zaman sebagai asbab untuk menyebabkan datangnya Hari Kiamat. Namun, Yaajuj & Maajuj bukanlah lahar gunung berapi seperti yang digembar-gemburkan di dalam youtube. Pendapat sebegitu tidak berasas sama sekali! Yaajuj & Maajuj itu merupakan 'kaum yang  suka melakukan kerosakan'. Andainya mereka adalah lahar gunung berapi, mana mungkin mereka dengan sengaja merosakkan bumi ini? Pastinya kita akan mengatakan bahawa itu merupakan 'bencana alam'. Maka, logik seperti ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa Yaajuj & Maajuj itu bukannya lahar gunung berapi.

Maka, fahamlah kita bahawa Yaajuj & Maajuj yang berperanan perosak di akhir zaman itu merupakan seorang manusia seperti kita. Namun mereka merupakan kaum yang pasti menang melakukan kerosakan sehinggalah Nabi Isa a.s. & tenteranya menghapuskan mereka suatu hari nanti. Sehingga itu, apakah peranan kita? Adakah cukup dengan melakukan rutin harian kita tanpa berusaha sesuatu? Sedarkah kita bahawa kejayaan hari esok merupakan ikhtiar pada hari ini? Mungkin kita boleh mulakan dengan mencari ilmu tanpa jemu. Wassalam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan